⏬Bacalah risalah penuh di bawah⏬
Mari Berbicara Tentang Sunat Perempuan ialah risalah yang dikarang untuk mengupas persoalan mengenai sunat/khitan perempuan atau pemotongan alat kelamin perempuan (FGC). Anda boleh terus ke bahagian yang relevan jika anda tahu apa yang mahu dicari, tetapi jika anda tiada pengetahuan atau tidak pasti, sebaiknya mulakan dari awal.
⚠️Amaran kandungan⚠️
Kandungan berikut mengandungi gambar dan ilustrasi mengenai anatomi reproduktif wanita, serta kisah peribadi yang mungkin menimbulkan rasa kurang selesa atau terganggu bagi sesetengah pembaca.
Dalam kajian perintis pada tahun 2020, didapati bahawa sekitar 75% wanita Muslim di Singapura telah menjalani sunat/khitan perempuan (FGC). Pada masa kini, hampir 100% prosedur ini dilakukan secara perubatan di klinik. Jenis sunat perempuan yang paling lazim di Singapura ialah:
Jenis I: Penyingkiran sebahagian atau keseluruhan bahagian glans klitoris (bahagian luar klitoris yang kelihatan, yang merupakan bahagian sensitif pada alat kelamin wanita), dan/atau penutup klitoris (lipatan kulit yang mengelilingi glans klitoris).
Jenis IV: Semua prosedur lain yang memudaratkan alat kelamin perempuan tanpa alasan perubatan, seperti mencucuk, menindik, mengiris, mengikis, dan melecuh.
Tidak. Tiada satu ayat pun atau dalil khusus dalam al-Qur’an yang menyebut tentang sunat perempuan secara jelas atau tersirat[1].
Tidak, baginda tidak melakukannya. Tiada satu pun hadis yang menyebut bahawa isteri atau anak perempuan Nabi pernah menjalani khitan–walaupun amalan ini banyak diamalkan di Madinah pada zaman baginda[2]. Baginda memilih untuk tidak melibatkan isteri dan anak perempuannya dalam amalan khitan walaupun ramai melakukannya.
Tiada teks syariah yang mengarahkan umat Islam untuk mensunatkan anak perempuan mereka. Dalam erti kata lain, Nabi tidak mengamalkan sunat perempuan ke atas anak perempuan baginda, dan baginda juga tidak diarahkan untuk melakukannya. Jika sunat perempuan merupakan salah satu ajaran Islam, pastinya Nabi akan menjadi orang pertama yang mengamalkannya ke atas isteri dan anak perempuan baginda. Sunat perempuan tidak pernah menjadi amalan yang diarahkan oleh Nabi kepada perempuan yang baru memeluk Islam, atau kepada ibu bapa Muslim untuk dilakukan ke atas anak perempuan mereka[3].
Ulama, atau cendekiawan Islam, yang berpendapat bahawa sunat perempuan adalah wajib atau sangat digalakkan dalam Islam biasanya merujuk kepada empat ayat al-Qur'an sebagai justifikasi atau bukti––walaupun tiada satu pun daripadanya menyebut atau menyarankan sunat perempuan. Ayat-ayat tersebut ialah:
Surah Al-Baqarah, 2:124
Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim[4]."
Surah Ali ‘Imran, 3:95
Katakanlah (wahai Muhammad): "Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik[5]."
Surah An-Nisa, 4:125
Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya[6].
Surah An-Nahl, 16:123
Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik[7].
Namun, seperti yang dapat kita lihat, ayat-ayat ini tidak menyebut tentang sunat perempuan. Para ulama telah menasihatkan tentang pentingnya memahami konteks ayat-ayat di atas[8]. Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi menolak penggunaan ayat-ayat al-Quran ini sebagai hujah untuk sunat perempuan dalam Islam[9]. Beliau menegaskan,
“Ayat ini sebenarnya merujuk kepada isu yang lebih luas, lebih berkenaan prinsip daripada isu pengkhitanan sahaja. Seruan supaya berpegang teguh pada agama Nabi Ibrahim merupakan panggilan kepada kepercayaan tauhid (keEsaan Allah) melalui hujah-hujah yang rasional dan saintifik, serta penolakan politeisme yakni menyekutukan dan menyembah selain daripada Allah SWT[10].”
Begitu juga, seorang bekas Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Imam Al-Akbar Mahmud Shaltut menegaskan bahawa,
“Menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai dalil untuk menghalalkan khitan adalah keterlaluan [dan] tidak masuk akal. Lebih tidak tepat lagi apabila [ayat-ayat tersebut] digunakan sebagai dalil untuk [khitan perempuan]. Ini kerana perintah untuk [melaksanakan] khitan dalam ajaran Nabi Ibrahim adalah khitan untuk lelaki, [sebagaimana] Nabi Ibrahim sendiri [melakukannya] seperti yang disebut dalam [hadis]. Jadi, adalah pelik untuk menggunakan [hadis yang menceritakan khitan lelaki Nabi Ibrahim] sebagai dalil untuk khitan perempuan[11].”
Sama seperti Al-Quran, tidak terdapat satu pun hadis sahih yang menyebut atau membincangkan sunat perempuan, secara jelas atau tersirat.
Beberapa hadis yang sering dirujuk mengenai sunat perempuan ialah:
[Prophet Muhammad said:] "Ummi Athiyyah, When you do circumcise, restrict yourself to cut a minute part and do not excise [cut surgically] That will be far more pleasant for the wife and satisfying for the husband[12].”
[Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:] “Khatan adalah Sunnah bagi lelaki dan Makrumah [kemuliaan] bagi wanita[13].”
Namun, hadis-hadis ini telah terbukti sebagai hadis dhaif, atau hadis lemah (tidak autentik). Dalam erti kata lain, ia adalah sumber maklumat yang tidak boleh dipercayai dan tidak boleh dijadikan hujah dalam perkara hukum. Hadis pertama daripada tiga hadis ini dikatakan diriwayatkan oleh tiga individu berasingan, di mana semua periwayatan mereka dianggap dhaif dan tidak boleh dipercayai kerana silsilah perawi yang dipertikaikan[14]. Keaslian hadis kedua juga telah dinyatakan sebagai dhaif oleh para ulama[15].
Hadis lain yang sering digunakan untuk menyokong amalan sunat perempuan dalam Islam ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Lima amalan fitrah terdiri daripada lima perkara: berkhitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong misai, dan memotong kuku[16].”
Hadis ini boleh dibandingkan dengan hadis sahih di bawah yang diriwayatkan oleh Aisyah, isteri Nabi SAW:
Diriwayatkan oleh Aisyah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sepuluh perkara adalah amalan fitrah: memotong misai, memelihara janggut, menggunakan siwak, menyedut air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh sendi jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan, dan membersihkan kemaluan dengan air. Perawi berkata: Saya terlupa perkara yang kesepuluh, tetapi mungkin ia adalah berkumur[17].”
Menariknya, walaupun riwayat Aisyah menyebut lima lagi amalan fitrah, tiada satu pun daripada sepuluh amalan tersebut termasuk khitan. Lebih penting lagi, amalan-amalan ini, dalam riwayat Abu Hurairah dan Aisyah, mengandungi sebutan khusus yang merujuk kepada lelaki, terutamanya penjagaan kebersihan rambut di wajah[18].
Mengaplikasikan jangkaan hadis ini kepada wanita adalah tidak adil dan tidak sah. Khitan untuk lelaki, seperti yang dinyatakan dalam riwayat Abu Hurairah, sememangnya dimaksudkan dan terbukti dalam beberapa aspek membawa manfaat dan kebersihan. Ini tidak sama untuk khitan perempuan. Sebaliknya, khitan perempuan boleh mendatangkan mudarat dari segi biologi, fizikal, dan psikologi, serta komplikasi dalam hubungan seksual.
Berikut adalah satu lagi hadis yang sering digunakan untuk menetapkan hukum khitan perempuan sebagai wajib atau sunnah:
Sepertimana yang diriwayatkan oleh Aishah RA, isteri Rasulullah SAW: “Dan apabila bertemu dua alat kelamin yang dikhitankan, maka wajiblah mandi. Rasulullah dan aku melakukan yang demikian, maka kami mandi”[19].
Walaupun hadis ini adalah hadis sahih, fokusnya bukan pada khitan alat kelamin, tetapi pada syarat-syarat yang mewajibkan mandi junub selepas hubungan suami isteri. Menurut tafsiran ulama, hadis ini menjelaskan bahawa apabila berlaku penetrasi semasa hubungan intim, mandi wajib diperlukan[20]. “Bahagian yang dikhitan” boleh merujuk kepada alat kelamin lelaki dan perempuan, yang lazimnya dikhitan pada zaman Nabi SAW. Penyebutan alat kelamin lelaki dan perempuan sebagai dikhitan oleh Nabi tidak bermaksud Baginda menggalakkan khitan perempuan atau melihatnya sebagai sunnah. Oleh itu, hadis ini tidak boleh dijadikan dalil untuk mengesahkan khitan perempuan sebagai wajib atau sunnah.
Hadis-hadis di atas, sama ada yang sahih atau dhaif, telah ditafsirkan dan digunakan sebagai dalil dengan cara yang diragui untuk mengesahkan khitan perempuan sebagai wajib atau sunnah. Huraian tentang khitan lelaki telah diperluas secara tidak adil dan tidak munasabah kepada khitan perempuan, tanpa mengambil kira perbezaan kesan khitan terhadap lelaki dan wanita. Tiada satu pun hadis yang menyokong amalan khitan perempuan sebagai amalan dalam Islam.
Kekaburan yang terdapat dalam al-Quran dan hadis telah membawa kepada perbezaan pemahaman dan tafsiran al-Quran dan hadis oleh ramai para ulama Islam tentang sunat perempuan. Sepanjang sejarah perundangan Islam, tidak ada persetujuan yang jelas mengenai isu ini. Ulama fiqh dari empat mazhab Sunni mempunyai pendirian yang berbeza tentang amalan sunat lelaki dan perempuan:
Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki –– khitan lelaki dianggap sunnah mu’akkadah (sunnah yang hampir wajib), manakala khitan perempuan dianggap makrumah (suatu kemuliaan atau penghormatan). Untuk khitan perempuan, potongan yang berlebihan adalah dilarang, terutamanya pada bahagian labia atau bibir faraj, kerana ia boleh mengganggu kenikmatan seksual wanita.
Mazhab Shafi’i –– khitan bagi lelaki dan perempuan adalah wajib.
Mazhab Hanbali –– khitan lelaki adalah wajib, manakala khitan perempuan dianggap makrumah[21].
Ulama abad ke-14, Ibn Hajar al-Asqalani, menyebut dalam Fath al-Bari, syarah kepada hadis Sahih al-Bukhari, bahawa majoriti ulama dari mazhab lain kecuali Shafi’i menolak ketetapan wajib bagi khitan perempuan[22]. Malah, dalam mazhab Shafi’i sendiri, terdapat perbezaan pendapat mengenai syarat-syarat yang menjadikannya wajib. Beberapa ulama Shafi’i bahkan tidak sependapat dengan Imam al-Shafi’i.
Menurut seorang profesor fiqh dari Amerika Syarikat, Dr Khaled Abou El Fadl, hukum wajib yang dijatuhkan oleh mazhab Shafi’i itu adalah berdasarkan kepercayaannya bahawa sunat itu tidak memudaratkan[23]. Apabila sesuatu isu fiqh mempunyai beberapa pendapat yang bercanggah, beliau menasihatkan agar perspektif-perspektif lain perlu dipertimbangkan. Dalam hal ini, dari sudut pandangan saintifik, sunat perempuan mendatangkan mudarat dari segi fizikal mahupun psikologi, dan sepatutnya dilarang[24].
Pada tahun 1998, para cendekiawan Islam dari lebih 35 negara Islam berkumpul di Universiti Al-Azhar, Kaherah untuk membincangkan tentang sunat perempuan, di samping isu-isu lain yang berkaitan dengan kesihatan reproduktif[25]. Mereka mencapai kesimpulan bahawa sunat perempuan adalah amalan yang tidak diwajibkan dalam Islam, memandangkan ia tidak pernah disebut dalam al-Quran dan tiada rujukan dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang mengandungi bukti isnad yang sahih yang boleh dijadikan asas hukum syariah bagi isu penting yang memberi kesan kepada kehidupan anak perempuan dan wanita.
Malahan, sebilangan ulama juga menegaskan bahawa sunat perempuan adalah haram. Pandangan mereka adalah seperti berikut:
Sheikh Yusuf al-Qaradawi –– Beliau mendapati bahawa khitan perempuan hanya berada pada tahap mubah, iaitu sekadar diharuskan [neutral] dalam fiqh. Beliau menegaskan bahawa perkara-perkara yang dibenarkan dalam syariah boleh diharamkan jika didapati membawa mudarat. khitan perempuan termasuk dalam kategori yang mendatangkan kemudaratan dan, menurut Sheikh al-Qaradawi, hukumnya sepatutnya haram.
Mantan Mufti Besar Al-Azhar, Sheikh Muhammad Sayyid Tantawy –– Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tiada asas kukuh dan dalil syara' (bukti hukum Islam) yang boleh dijadikan hujah untuk mengesahkan atau membolehkan sunat perempuan. Pada tahun 2000, bekas Mufti Besar ini menyeru negara-negara Arab dan pelbagai wilayah dari Teluk hingga ke Afrika Utara untuk menghentikan budaya sunat perempuan kerana ia tidak selaras dengan ajaran Islam.
Mantan Mufti Besar Al-Azhar, Sheikh Mahmud Shaltut –– Dalam Islam, prinsip asasnya adalah bahawa sesuat yang mendatangkan mudarat kepada mana-mana bahagian tubuh adalah haram, kecuali jika manfaat yang dijanjikan lebih besar daripada kemudaratan, atau jika terdapat keperluan mendesak untuk melakukannya. Beliau menganggap sunat perempuan sebagai satu perbuatan yang mendatangkan mudarat kepada tubuh. Beliau menolak justifikasi untuk sunat perempuan, terutama sekali kerana tiada manfaat yang terjamin atau sah, malah ia jelas boleh menyebabkan kerosakan dan kemudaratan.
Mufti Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed Mohamedel-Tayeb –– Dengan merujuk kepada fiqh dan pihak perubatan yang dipercayai, beliau mendapati bahawa sunat perempuan mendatangkan mudarat kepada perempuan serta kehidupan berkeluarga mereka selepas berkahwin, dan menyimpulkan bahawa amalan ini adalah haram menurut syariah.
Ulama Mesir dari Daral-Ifta dan Al-Azhar –– Terdapat dua fatwa tentang sunat perempuan yang dikeluarkan oleh ulama di Dar al-Ifta, badan penasihat, kehakiman, dan kerajaan Islam di Mesir, serta ulama dari Al-Azhar. Fatwa ini diputuskan pada tahun 2011, dan dikeluarkan semula pada Februari 2021. Kedua-dua fatwa ini dengan tegas menyatakan bahawa sunat perempuan adalah haram dan merupakan satu bentuk jenayah.
Akademi Penyelidikan Islam Al-Azhar –– Mereka menegaskan bahawa tiada arahan yang sahih atau jelas daripada syariah, al-Quran, dan Sunnah Nabi berkaitan sunat perempuan. Hadis yang digunakan untuk menyokong khitan perempuan dianggap lemah dan tidak memberikan bukti yang jelas, oleh itu, tidak boleh dijadikan hujah untuk amalan tersebut. Akademi ini berpendirian bahawa sunat perempuan adalah satu bentuk keganasan yang telah dinormalisasikan dan tidak mempunyai legitimasi daripada syariah: Jika ada pihak yang masih melakukannya, ia dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, dan pelakunya harus dihukum atas perbuatan mereka.
Ada juga beberapa pendapat tempatan yang menentang amalan sunat perempuan. Almarhum Ustaz Zhulkeflee Haji Ismail, bekas Pengurus PERGAS (Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura), berpendapat bahawa amalan tersebut ”tidak mempunyai dasar agama dan tidak ada apa-apa garis panduan—melainkan tidak boleh mendatangkan mudarat kepada orang Islam[27]." Menteri Bertanggungjawab Bagi Hal Ehwal Islam pada waktu itu, Encik Yaacob Ibrahim, telah menyatakan pada tahun 2002 bahawa beliau tidak akan menyunatkan anak perempuannya kerana amalan itu tidak diwajibkan oleh agama[28].
Mufti Negeri Perlis di Malaysia, Dato‘ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, turut menyatakan bahawa ”sunat itu tidak wajib bagi kaum perempuan tetapi tidak pula diharamkan selagi tidak mendatatangkan mudarat atas perempuan tersebut“[29].” Dato’ Ismail Yahya, mantan Mufti Terengganu, Malaysia, merujuk kepada kitab Al-Qawaaed Al-Fiqhiyyah wa Tadbiqaatiha fil Mazaahib Al-Arbaah oleh ulama Syria, Muhammad Mustofa Al-Zuhayli, yang berhujah bahawa "khitan, jika tidak diwajibkan, adalah haram. Khitan mencederakan dan memotong sebahagian anggota tubuh. Ia juga mendedahkan aurat untuk dilihat oleh orang lain[30].” Dalam kitab yang sama, beliau menegaskan kaedah fiqh yang berbunyi: “Satu peraturan atau undang-undang yang dibuat oleh pemerintah untuk rakyat mestilah membawa manfaat kepada mereka[31].”
Di Indonesia, Kongres Ulama Perempuan Indonesia (KUPI) pada tahun 2022 telah mengeluarkan fatwa yang menyatakan bahawa sebarang pemotongan atau pelukaan pada alat kelamin perempuan tanpa justifikasi perubatan adalah haram[32]. Dr. Nur Rofiah, pensyarah tafsir al-Quran di Institut Ilmu al-Quran dan ahli lembaga penasihat nasional KUPI, mencadangkan pendekatan yang memberi tumpuan kepada pengalaman perempuan sebagai lensa dalam memahami al-Quran untuk mengatasi masalah teks dan konteks berkaitan isu gender[33]. Beliau berhujah bahawa perjalanan etika al-Quran telah dihalang oleh kepentingan patriarki yang ingin mengekalkan keistimewaan lelaki dan mengecualikan perempuan daripada membentuk pemahaman tentang kesejahteraan individu dan masyarakat. Beliau menekankan betapa pentingnya menjadikan pengalaman hidup perempuan dan keperluan golongan yang terdedah sebagai panduan untuk membentuk semula norma Muslim berkaitan gender dan hubungan kekeluargaan. Wanita menghadapi banyak pengalaman yang tidak dialami oleh lelaki: haid, kehamilan, melahirkan anak, nifas, dan menyusukan anak; pengalaman yang lebih kompleks, lebih lama tempohnya, dan melibatkan kesakitan yang lebih besar berbanding pengalaman tubuh dan reproduktif lelaki. Lelaki tidak mengalami realiti yang sama seperti perempuan, oleh itu, penting untuk memusatkan pengalaman perempuan bagi mencapai keadilan untuk perempuan dan kanak-kanak perempuan dengan cara yang menghormati kemanusiaan mereka secara menyeluruh[34].
Selain KUPI, pihak-pihak berikut juga telah menyatakan pendirian dan hujah mereka menentang sunat perempuan:
Mantan pesuruhjaya Komisi Nasional Anti-Kekerasan Terhadap Perempuan (Komnas Perempuan), Dr. (Hc) K. H. Husein Muhammad –– Beliau menyatakan bahawa khitan perempuan bukanlah tradisi Islam dan tiada satu pun hadis Nabi yang boleh dijadikan rujukan untuk membenarkan amalan tersebut[35]. Dengan menggunakan sumber-sumber klasik Islam dan pandangan beberapa ulama klasik dan moden yang terkenal, beliau berhujah dalam bukunya, Fiqh Perempuan dan Ijtihad Kyai Husein, bahawa pelbagai hadis yang digunakan untuk mewajibkan khitan perempuan adalah lemah. Oleh itu, kewajipan ini seperti yang terdapat dalam fatwa klasik harus dianggap sebagai ijtihad ulama terdahulu dan tidak terikat kepada umat Islam masa kini, yang perlu menilai semula amalan ini berdasarkan pengetahuan saintifik dan perubatan moden serta pemahaman yang berkembang mengenai hak dan maruah wanita[36].
Pengasas Institut Fahmina, sebuah NGO di Indonesia yang berfokus pada isu gender, demokrasi, dan pluralisme dari perspektif Islam, Dr. Faqihuddin Abdul Kodir –– Beliau menegaskan bahawa jika salah satu sebab khitan lelaki adalah untuk memudahkan kenikmatan seksual bagi lelaki, alasan yang sama seharusnya diaplikasikan kepada khitan perempuan. Namun, hakikatnya, wanita yang telah menjalani khitan perempuan mungkin menghadapi kesukaran untuk merasai kenikmatan seksual berbanding mereka yang tidak melaluinya. Oleh itu, khitan perempuan seharusnya dilarang supaya wanita juga dapat merasai kenikmatan seksual dengan mudah seperti lelaki[37].
Kementerian Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak di Indonesia –– Mereka telah menerbitkan sebuah buku panduan untuk para ulama dalam melaksanakan advokasi dan jangkauan bagi mencegah amalan sunat perempuan dalam komuniti mereka[38].
Tiada sebutan mengenai sunat perempuan dalam al-Quran. Tiada sebutan mengenai sunat perempuan dalam hadis. Tiada bukti bahawa Nabi Muhammad SAW mengkhitankan puteri-puteri Baginda. Tiada kesepakatan di kalangan para ulama dan cendekiawan agama di seluruh dunia mengenai sunat perempuan.
Adakah sunat perempuan benar-benar adalah amalan yang dituntut dalam Islam?
Adakah sunat perempuan prosedur yang selamat jika dilakukan oleh seorang doktor?
Sunat perempuan tidak diajar dalam mana-mana kurikulum perubatan.1 Biasanya, doktor-doktor mempelajarinya daripada rakan sekerja yang lebih senior kerana tidak ada latihan, garis panduan, atau penilaian berkenaan cara melakukan prosedur sunat perempuan.
Di Malaysia, doktor yang melakukan sunat perempuan mempelajari prosedur tersebut dengan memerhati bidan melakukannya, membaca buku, menonton video, dan bertanya kepada tokoh agama[2]. Mereka kemudian menyesuaikan dan mengubahsuai mengikut “apa yang paling sesuai bagi mereka[3].”
Di Singapura, terdapat kejadian di mana doktor secara tidak sengaja memotong “terlalu banyak,” yang mengakibatkan luka pada bahagian klitoris atau labia[4]. Doktor yang melakukan sunat perempuan juga biasanya tidak memeriksa sejarah perubatan bayi, yang boleh menyebabkan komplikasi seperti pendarahan berlebihan.
Proses menjadikan sunat perempuan suatu prosedur perubatan ini dikecam hebat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation, WHO) yang menyatakan "tidak kira sama ada FGM dilakukan oleh wakil tradisional atau kakitangan perubatan, amalan ini adalah berbahaya dan tidak beretika, tanpa apa-apa manfaat, dan tidak patut dilakukan dalam keadaan apa pun."2 Persatuan Perubatan Sedunia (World Medical Association) juga "mengutuk amalan mutilasi atau pemotongan genitalia wanita dan perempuan, tidak kira tahap pemotongan alat kelamin, dan menentang penyertaan doktor dalam amalan ini."3
Tidak semua doktor memahami atau mempunyai pengetahuan tentang anatomi klitoris untuk melakukan prosedur dengan selamat di kawasan tersebut. Kajian pada tahun 2019 mendapati bahawa saraf klitoris yang bertanggungjawab terhadap deria dan orgasma adalah serupa dengan saraf yang terdapat di sepanjang batang zakar dan jari telunjuk[7]. Saraf ini (rujuk saraf dorsal dalam rajah di bawah) juga terletak hanya beberapa milimeter di bawah permukaan penutup klitoris pada orang dewasa, dan oleh itu, mungkin lebih dekat untuk bayi-bayi.
Gambaran struktur anatomi bahagian keratan rentas klitoris[8]. Perhatikan betapa dekatnya saraf-saraf ini dengan permukaan.
Setiap saraf mengandungi purata 5,140 hujung saraf, yang bermakna klitoris adalah organ yang sangat sensitif dengan purata 10,281 hujung saraf tertumpu dalam klitoris dewasa[9]. Sebagai perbandingan, tangan yang jauh lebih besar daripada klitoris mengandungi 18,000 hujung saraf[10].
Dr. Paul Pin, seorang penyelidik daripada kajian tersebut, menekankan bahawa “[saraf-saraf ini] sangat besar, [dekat dengan permukaan] dan sangat mudah tercedera jika anda tidak tahu apa yang anda lakukan[11].” Gino Pecoraro, dari Royal Australian and New Zealand College of Obstetricians and Gynaecologists, menjelaskan bahawa penemuan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk mengelakkan pembedahan yang tidak perlu di kawasan ini[12].
Pengalaman Seorang Ibu
Saya pergi ke seorang doktor wanita Muslim yang disarankan oleh pakcik saya semalam. Pagi ini, masih kelihatan ada darah. Kemudian, saya perasan ada sesuatu yang tergantung...Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati bahawa bahagian labia terpotong di bahagian atas dan berwarna kebiruan. Saya kembali ke doktor itu untuk mengetahui apa yang tidak kena. Dia belum melihat bayi saya, tetapi sudah memegang bekas dengan gunting. Saya berkata, “Kamu tidak akan memotong anak saya lagi.” Kemudian, apabila dia melihat potongan itu, dia terus berkata itu adalah labia. Saya menegaskan bahawa potongan itu tidak sepatutnya ada di situ, kerana proses sunat sudah selesai apabila bahagian atas sudah dipotong. Dia mungkin telah memotong terlalu banyak. Proses sunat anak perempuan sulung saya dahulu berjalan dengan lancar (doktor lain). Doktor ini tidak meminta maaf tetapi terus berkata bahawa bayi itu akan sembuh, dan saya mula marah. Saya bertanya sama ada ini cara yang sepatutnya. Dia mula bercakap tentang sunat di Mesir — siapa peduli apa yang dilakukan di tempat lain! Dia membuat saya lebih marah. Saya terus bertanya jika ia sepatutnya menjadi sebegitu. Dia mendakwa yang labia mungkin akan kembali bercantum, atau terjatuh sendiri. Hah? Saya kelihatan lebih keliru dan sangat sedih... Kemudian, sebelum saya keluar dari bilik, dia mengakui yang dia mungkin telah memotong terlalu banyak dan meminta maaf. Saya masih sedih... Adakah sesiapa yang mengalami pengalaman serupa? Apakah yang terjadi kepada anak perempuan anda?
Dipetik dari forum MummySg, disiarkan pada Oktober 2012.
Adakah sunat perempuan hanya pemotongan kecil yang tidak memudaratkan?
Sunat perempuan telah terbukti membawa banyak risiko kesihatan fizikal dan trauma psikologi.
Panjang purata litup klitoris/glans bayi perempuan yang baru lahir adalah sekitar 6.7 mm[1]. Litup klitoris ini sangat melekat pada glans bayi, yang bermaksud ia melekat erat dengan glans klitoris. Oleh itu, sukar untuk menarik litup klitoris dari glansnya untuk memotong atau mencucuknya secara “selamat” tanpa melibatkan tisu sebenar[2]. Litup/glans klitoris juga boleh membesar hingga 37 mm pada orang dewasa[3]. Memotong mana-mana bahagian klitoris, walaupun kecil, sebenarnya adalah memotong tisu yang sedang berkembang.
Klitoris adalah organ yang sangat sensitif dengan purata 10,281 hujung saraf tertumpu pada klitoris dewasa[4]. Sebagai perbandingan, tangan yang jauh lebih besar daripada klitoris mempunyai 18,000 hujung saraf[5]. Walaupun jumlah hujung saraf pada klitoris bayi belum dikaji, sebarang kecederaan pada klitoris bayi masih boleh menyebabkan kesakitan yang amat sangat bagi bayi tersebut[6].
Kajian 2015 oleh Universiti Oxford mencadangkan bahawa bayi merasai kesakitan seperti orang dewasa[7]. Para penyelidik mendapati bahawa 18 daripada 20 kawasan otak yang aktif ketika orang dewasa mengalami kesakitan turut aktif pada bayi. Imbasan MRI juga menunjukkan bahawa otak bayi memberikan respons yang sama terhadap cucukan lemah (dengan daya 128mN) seperti orang dewasa terhadap rangsangan yang empat kali ganda lebih kuat (512mN), menunjukkan bahawa ambang kesakitan bayi jauh lebih rendah.
Tiada takrifan atau definisi yang standard berkenaan bahagian mana atau berapa banyak tisu genitalia yang harus dipotong sebelum potongan tersebut layak diklasifikasikan sebagai sunat perempuan. Penerangan berkenaan berapa besar bahagian kulit yang dipotong adalah sebesar “seperempat butir beras, sebutir biji buah jambu batu, sebutir kekacang, hujung sehelai daun, [atau sekecil] kepala peniti.“[8] Penerangan yang disampaikan dari mulut ke mulut (anecdote) biasanya meremehkan prosedur ini dengan menyatakan bahawa ia ‘potong sikit sahaja’ dan ‘keluarkan setitik darah’.
Prosedur sunat perempuan dilakukan dengan cara yang berbeza-beza oleh para doktor. Ada yang menggores penutup kelentit (prepuce atau clitoral hood) supaya berdarah sedikit, ada yang mengikis ataupun memotong sebahagian kecil penutup kelentit, dan ada lagi yang memotong hujung kelentit (clitoris). Sunat perempuan yang tidak memudaratkan sama sekali merupakan sunat yang dilakukan secara simbolik/upacara di mana tiada apa-apa yang dipotong: alat pembedahan diletakkan di atas alat kelamin diiringi bacaan doa, ataupun alat kelamin dibersihkan dengan cecair antiseptik. Namun demikian, amalan sunat perempuan di Singapura biasanya melibatkan pemotongan tisu genitalia.
Tumbesaran genitalia berlaku pada dua tahap: di dalam rahim, dan ketika tempoh baligh.2 Oleh itu, alat kelamin seseorang bayi atau kanak-kanak perempuan belum mencapai tahap kematangan fizikal alat kelamin seorang wanita dewasa, dan akan membesar dari segi bentuk dan ukuran semasa dan selepas tempoh baligh. Walaupun terdapat banyak variasi dari segi ukuran dan rupa bentuk, bahagian alat kelamin yang biasanya terang kelihatan sebelum baligh ialah hanya kira-kira 1 sentimeter penutup kelentit, dan setengah sentimeter labia minora (bibir dalaman alat kelamin). Pemotongan tisu genitalia seorang bayi, walau sedikit mana pun, bermakna jauh lebih banyak penghujung saraf yang hilang dan tisu parut yang terbentuk jika dibandingkan dengan kecederaan yang berlaku ke atas alat kelamin wanita dewasa yang menjalani prosedur yang sama.
Satu kesan sampingan teruk yang biasa berlaku akibat apa-apa jenis luka potongan ialah parut atau perekatan pada bahagian-bahagian alat sulit seperti labia minora, labia majora ataupun dinding faraj.3 Parut keloid4 boleh terus membesar sehingga bayi atau kanak-kanak perempuan tersebut menjejak usia dewasa, dan mampu menghadang atau menutupi sepenuhnya lubang faraj dan lubang kemih (urethral opening). Hal ini akan menimbulkan masalah semasa membuang air kecil, kesakitan semasa bersetubuh, atau proses bersalin yang tersekat. Parut keloid tersebut juga boleh tersiat semasa kelahiran normal.5 Antara komplikasi lain yang mungkin berlaku ialah bengkak yang bernanah atau ketumbuhan di penutup kelentit, pendarahan yang serius, jangkitan kuman, renjatan, sepsis, bahkan juga kematian.
Satu lagi kesan sampingan akibat kelentit yang terdedah dek penutupnya yang dipotong ialah penyahpekaan (berkurangnya sensitiviti) atau pun keterpekaan (terlebihnya sensitiviti) kelentit yang boleh menjejaskan keseronokan seksual semasa dewasa kelak. Kajian oleh Sahiyo dalam komuniti Dawoodi Bohra, di mana sunat perempuan biasanya dilakukan pada usia 6 hingga 7 tahun, menunjukkan bahawa kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental termasuk “ketakutan, kepatuhan, penindasan perasaan, dan pengekangan emosi[13].”
Adakah mereka akan ingat kesakitan sunat perempuan apabila dilakukan semasa usia bayi?
Bayi dan kanak-kanak juga merasakan “ketakutan yang amat sangat dan/atau ketidakberdayaan” yang sama seperti orang dewasa apabila dikekang dan dicederakan secara fizikal; mereka hanya tidak mampu menyatakan perasaan mereka dengan jelas[1]. Salah satu mekanisme ketahanan tubuh yang biasa berlaku apabila menghadapi kesakitan yang amat sangat ialah penutupan neurologi (neurological shutdown) dalam bentuk kelesuan atau tertidur sejurus selepas prosedur, yang menjejaskan interaksi dengan penjaga.
Kajian 2015 oleh Universiti Oxford mencadangkan bahawa bayi merasai kesakitan seperti orang dewasa[2]. Para penyelidik mendapati bahawa 18 daripada 20 kawasan otak yang aktif ketika orang dewasa mengalami kesakitan turut aktif pada bayi. Imbasan MRI juga menunjukkan bahawa otak bayi memberikan respons yang sama terhadap cucukan lemah (dengan daya 128mN) seperti orang dewasa terhadap rangsangan yang empat kali ganda lebih kuat (512mN), menunjukkan bahawa ambang kesakitan bayi jauh lebih rendah.
Di Singapura, atas nasihat Mufti, klinik swasta sepatutnya menyunatkan kanak-kanak perempuan setakat usia 2 tahun sahaja[3]. Menurut beberapa orang doktor tempatan, tidak ada krim kebas atau ubat bius (anaesthesia) yang digunakan dalam prosedur sunat perempuan. Ini bermakna bahawa prosedur tersebut ialah sejenis trauma fizikal. Walaupun dilakukan dengan niat yang baik dan pada usia yang sangat muda, sunat perempuan merupakan pengalaman keganasan gender secara langsung.
Kecelaruan stres postraumatik (post-traumatic stress) merupakan respons yang normal terhadap pencabulan integriti fizikal sebegini. Kesan psikologi sangat serius, terutamanya semasa bayi, kerana ia adalah waktu di mana otak berkembang dengan pesat dan mudah terpengaruh oleh persekitaran. Oleh itu, pengalaman trauma pada usia bayi berpotensi lebih besar untuk membawa kesan psikologi negatif jangka panjang.
Adakah sunat perempuan perlu dilakukan demi kebersihan?
Tidak ada satu pun bentuk sunat perempuan yang mempunyai apa-apa manfaat buat kesihatan. Dari sudut perubatan, amalan ini melibatkan pembuangan (yang tidak perlu) dan/atau kecederaan pada tisu genitalia yang sihat [1].
Vulva dan faraj, seperti semua bahagian badan yang lain, bergantung pada kerjasama sekumpulan bakteria ‘baik‘ untuk kekal sihat. Kesemua bahagian badan kita boleh dijaga kebersihannya dengan amalan kebersihan seharian. Sama ada seseorang itu sudah disunat atau tidak, alat kelamin harus sentiasa dibersihkan/dicuci. Kita tidak membuang bahagian-bahagian badan yang lain semata-mata untuk menjaga kebersihan. Tubuh badan kita telah dicipta dengan penuh kebijaksanaan agar kekal sihat dan dapat berfungsi tanpa perlu banyak campur tangan daripada manusia sendiri.
Seorang pakar perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Harlina Siraj, menganggap sunat perempuan sebagai “menghina [wanita]“, “berisiko [tinggi]“, dan tidak ada “asas perubatan mahupun sains“ [2]. Seorang lagi pakar, Profesor Dr Zaleha Abdullah Mahdy, juga dari UKM, telah mengetengahkan isu sunat perempuan di Malaysia sebagai sebahagian amalan Mutilasi Genitalia Perempuan (Female Genital Mutilation, FGM) di Kongres Sedunia Kolej Diraja bagi Pakar Perbidanan dan Sakit Puan (Royal College of Obstetricians and Gynaecologists World Congress) pada tahun 2018 [3].
Pengalaman Mangsa
“Saya berusia 21 tahun apabila mendapat tahu saya telah menjalani mutilasi alat kelamin wanita (FGM) pada usia kira-kira 4 tahun. Saya sudah pun menjadi pengkritik vokal FGM ketika itu, bersuara menentangnya dalam perhimpunan, tetapi saya tidak tahu bahawa saya juga merupakan mangsa amalan ini. "Saya tidak mempersoalkan kekerapan jangkitan saluran kencing saya, bagaimana seks sentiasa menyakitkan, atau mengapa saya tidak pernah mengalami orgasme.”
Kisah Jeena Sharma di VICE[4]
Adakah sunat perempuan berbeza dengan mutilasi alat kelamin wanita - Female Genital Mutilation (FGM)?
Sunat perempuan sebagaimana dilakukan di Singapura termasuk dalam definisi FGM yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Perbuatan mencederakan, memotong sebahagian atau keseluruhan tisu yang sihat dan berfungsi daripada penutup kelentit (clitoral hood) atau kelentit, yang dilakukan bukan atas sebab perubatan, adalah dianggap FGM Jenis 1[1]. Bentuk-bentuk sunat perempuan yang lain seperti mengikis, mencucuk, menggores, atau mencalit dianggap FGM Jenis 4.
Sebahagian Muslim menolak pengkategorian sunat perempuan sebagai FGM kerana penilaian nilai yang dianggap berat sebelah. Namun, definisi mutilasi merujuk kepada kerosakan pada mana-mana bahagian tubuh yang membawa kesan negatif terhadap kualiti hidup[2]. Memandangkan sunat perempuan boleh menyebabkan kesan fizikal dan psikologi yang teruk dan berpanjangan, terutamanya tanpa persetujuan, ia dianggap sebagai FGM.
Soal keizinan dan integriti fizikal haruslah dipertimbangkan. Cuba fikirkan perkara ini dari sudut pandangan anak perempuan anda: Adakah dia akan mengatakan 'ya' atau 'tidak' untuk memotong alat kelaminnya, atas apa-apa sebab pun?
Sekiranya anda merasakan bahawa jawapannya 'ya', biarkanlah anak perempuan anda membuat keputusan untuk dirinya sendiri sebagai seorang dewasa yang sudah matang. Sebagai ibu bapa dan penjaga, apakah nilai-nilai yang kita promosikan jika kita memaksa anak-anak kita menjalani prosedur yang sangat menyakitkan tanpa bertanya apa yang mereka mahukan atau perlukan?
Di Malaysia, Mufti Perlis, Dato 'Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengatakan, "masalahnya kita [melakukan khitan] [ke]pada anak kita. Anak kita juga mempunyai hak kepada dirinya sendiri. Maka dengan itu, saya rasa mereka tidak perlu meneruskan untuk berkhitan ini. Melainkan apabila anak atau wanita itu sudah besar, dia ingin melakukannya. Itu terpulang kepada diri dia[1]."
Sebagai ibu bapa, kita memikul tanggungjawab yang besar untuk kesihatan anak-anak kita, termasuk membaiki atau mengurangkan apa-apa kesilapan doktor, atau apa-apa kesan sampingan. Segala keputusan yang tidak ada keperluan dari segi perubatan harus dibuat hanya setelah membuat kajian dan perbincangan yang menyeluruh mengenai cara sesuatu prosedur dijalankan, kesan sampingan yang mungkin terjadi, serta komplikasi yang terkait.
Pengalaman Mangsa
“Saya tidak ingat bila ia berlaku kepada saya. Saya juga tidak tahu butirannya – siapa yang melakukannya, di mana ia dilakukan, atau apa yang digunakan. Apa yang saya tahu hanyalah perasaan sakit kerana menyedari bahawa tubuh saya telah diubah secara kekal tanpa persetujuan saya oleh orang-orang dan komuniti yang terpaksa saya percayai untuk menjaga keselamatan saya, dan mereka gagal melakukannya. Parut saya bukan sahaja berbentuk fizikal, tetapi juga dalam bentuk psikologi dan emosi. Saya terpaksa hidup dengan perasaan kecewa, marah, dan ketidakadilan. FGC mendatangkan mudarat dan tidak diperlukan. Tetapi masih ada harapan – kesakitan ini boleh dielakkan. Saya tidak akan mewariskan trauma ini kepada anak-anak perempuan saya. Ini akan berakhir dengan saya.”
Dikongsi dengan End FGC Singapore[2]
Nabi Muhammad SAW tidak mengkhitankan isteri-isteri atau puteri-puteri Baginda–walaupun amalan tersebut secara meluas dilakukan di Madinah pada zamannya[3]. Baginda memilih untuk tidak melibatkan isteri dan puteri-puteri Baginda dalam amalan sunat perempuan ketika ramai orang lain melakukannya.
Pengalaman Seorang Ibu
“Apabila anak-anak perempuan saya dilahirkan, saya membuat keputusan untuk tidak mengkhitankan mereka. Khitan perempuan adalah salah satu amalan kelahiran yang paling membingungkan dalam masyarakat Muslim. Ia tidak mempunyai sebarang nilai kesihatan atau estetika. Sebelum saya membuat keputusan untuk melakukannya atau tidak, saya bertanya kepada rakan-rakan dan mengkaji di Internet untuk mencari kesahihan. Mengapa, di mana dan bagaimana ia dilakukan? Saya tidak menemui jawapan yang sah. Kemudian saya merujuk kepada satu-satunya tempat di mana umat Islam mencari jawapan, iaitu al-Quran. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati tiada ayat yang menyokong amalan itu dalam al-Quran. Hanya terdapat hadis yang samar mengenai khitan lelaki.
Kisah Zubaida Ali di Beyond the Hijab[4]
Ramai yang percaya bahawa sunat perempuan dapat mencegah perempuan daripada menjadi ‘liar’[1]. Namun, sama ada seseorang wanita itu mempunyai desakan seks yang tinggi atau pasangan seks yang ramai sebenarnya bergantung kepada tumbesaran otak dan perkembangan sahsiah, personaliti, dan pengalaman hidupnya. Nafsu syahwat berpucuk pangkal di benak otak kita, dan bukanlah dari alat kelamin. Anggapan bahawa kaum wanita secara alaminya mempunyai nafsu syahwat yang berlebihan, yang lantas perlu dikekang, merupakan andaian berbahaya yang bersumberkan patriarki.
Tumpuan yang melampau terhadap keseksualan perempuan (hypersexualisation of girls), menunjukkan keutamaan yang diletakkan pada ketakutan atau kekhuatiran masyarakat terhadap perempuan ‘liar’, melebihi hak perempuan itu sendiri terhadap tubuhnya, kesihatan dan kesejahteraannya. Sikap memandang perempuan sebagai objek ini memberi laluan kepada sikap-sikap lain pada usia selanjutnya seperti pengawasan akhlak (moral policing) dan penyekatan seksual terhadap wanita. Pengawalan seksual perempuan dan wanita merupakan satu bentuk patriarki dan bukan amalan dalam Islam. Islam ialah agama yang mendukung kesihatan dan integriti fizikal semua golongan; baik wanita, lelaki mahupun kanak-kanak.
Pengalaman Mangsa
“Saya mengambil masa bertahun-tahun sebelum berani untuk meneroka bahagian diri saya yang ini. Bertahun-tahun. Dan hanya ketika saya berumur 25 tahun, saya akhirnya mendapat keberanian untuk bertanya kepada ibu bapa saya sekiranya mereka telah [setuju untuk melakukan] FGC [ke atas] diri saya. Dan mereka mengaku. Cara mereka menerangkannya secara bersahaja––seolah-olah pemotongan kecil itu tidak merampas sebahagian daripada diri saya, bahagian seksual saya––terus menyakitkan hati saya sehingga hari ini. Kerana ini tubuh saya dan saya perlu hidup dengannya. Walau bagaimanapun saya cuba menyentuh diri saya, rasanya pelik. Mungkin saya tidak pernah merasai keinginan sebenar. Mungkin saya tidak tahu bagaimana untuk melakukannya.”
Dikongsi dengan End FGC Singapore[2]
Budaya merupakan sesuatu yang dinamik dan kerap berubah mengikut arus zaman. Jika sesuatu amalan budaya itu didapati boleh mendatangkan banyak mudarat dan tidak ada manfaat yang terbukti dengan kukuh, maka amalan itu tidak patut diteruskan. Salah satu adat Melayu yang sudah ditinggalkan sama sekali ialah adat mengasah gigi yang biasanya dilakukan terhadap anak-anak lelaki dan perempuan yang berumur antara 15 hingga 16 tahun, sejurus sebelum disunatkan, untuk menandakan bahawa mereka sudah dianggap dewasa dan sudah sedia untuk mendirikan rumahtangga[1]. Adat barut, iaitu membengkung perut bayi dari lahir sampailah mereka mula merangkak, merupakan adat yang sudah sangat jarang diamalkan. Kini, kita sudah tahu kesan buruk daripada adat mengasah gigi terhadap kesihatan gigi, serta kesan buruk akibat pembengkungkan yang berlebihan, iaitu menyekat tumbesaran fizikal seorang bayi.
Amalan sunat perempuan yang dipraktikkan sekarang ini—dengan tiada majlis untuk meraikannya, dan sebaliknya hanya temujanji yang serba ringkas di klinik doktor—menandakan bahawa amalan ini hanya dilakukan demi memberi pengesahan dan keyakinan kepada ibu bapa dan datuk nenek berkenaan identiti budaya atau identiti Muslim keluarga tersebut, dan bukan dilakukan demi kebaikan bayi perempuan mahupun masyarakat.
Kajian telah menunjukkan bahawa amalan sunat perempuan dibawa masuk ke Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada tradisi Islam yang berkaitan dengan mazhab Shafi’i [2]. Sebagai suatu ritual kebudayaan atau adat Melayu suatu ketika dahulu, amalan ini dilakukan untuk memelihara identiti budaya dan supaya anak perempuan serta ibu bapanya diterima oleh masyarakat keliling. Hal ini jelas kelihatan apabila majlis kenduri bagi jiran tetangga dan sanak saudara dilangsungkan untuk meraikan pengkhitanan anak perempuan tersebut.
Desakan daripada anggota masyarakat yang terdekat merupakan faktor terkuat yang mendorong ibu bapa untuk menyunatkan anak perempuan mereka. Ibu-ibu muda terutamanya, menghadapi desakan daripada saudara-mara yang lebih tua untuk melakukannya. Hal ini mendedahkan harapan dan hasrat ramai ibu bapa untuk membesarkan anak perempuan mereka menjadi anak yang solehah dan seorang Muslimah yang baik lagi suci.
Kita semua mahu diperakui sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab. Kedua-dua adat cukur rambut dan aqiqah merupakan amalan yang sangat sesuai bagi meraikan kelahiran seorang cahaya mata dan mengucapkan syukur kepada Allah SWT, tanpa risiko memudaratkan anak perempuan dari segi fizikal atau psikologi.
Jika budaya dan ritual penting bagi anda dan orang di sekeliling anda, anda boleh mempertimbangkan pembersihan simbolik atau ritual, di mana tiada kulit yang dipotong dan dengan itu, tiada mudarat dilakukan. Di Jambi, Indonesia, seorang bidan menyatakan bahawa dia hanya membersihkan vulva apabila diminta untuk melakukan sunat perempuan pada bayi:
"Jika mereka masih berkeras, saya hanya akan membersihkan [vulva/genitalia]. Kami akan membersihkan labia bayi yang kotor untuk menyenangkan ibu-ibu yang berdegil. Tiada apa-apa yang dipotong, dan mereka akan faham. Jika mereka masih berkeras, kami akan berkata, ‘apa yang boleh dipotong jika ia sekecil ini[3]?"
Pengalaman Mangsa
“Kekecewaan yang saya sudah disunat semakin berkurangan, kerana saya faham pada tahap tertentu: ibu bapa menghadapi tekanan sosial, agama, dan budaya. Saya bersimpati dengan itu. Namun, perkara itu bukan sebuah alasan atas kelalaian ibu bapa tentang prosedur ini.”
Dikongsi dengan End FGC Singapore[4]
Tiada statistik atau penyelidikan nasional berkenaan ketersebaran, jenis atau implikasi kesihatan dek amalan sunat perempuan di Singapura. Dua tinjauan yang dijalankan pada tahun 2016 dan 2020 menunjukkan ketersebaran setinggi 86 peratus (n = 119)[1] dan 76.4 peratus (n = 360)[2] dalam kalangan wanita Muslim.
Sudah tentunya sukar apabila anda merasakan seperti anda seorang sahaja yang membuat keputusan sebegini. Cuba berbincang dengan pasangan, saudara-mara atau rakan-rakan anda, dan minta mereka untuk menyokong keputusan anda. Dalam masyarakat setempat, anda boleh menemui individu-individu yang juga menolak amalan sunat perempuan dari organisasi masyarakat seperti Beyond The Hijab, Penawar dan lain-lain lagi.
Sekiranya terlalu sulit untuk meyakinkan keluarga atau rakan-rakan anda, ketahuilah bahawa anda tidak perlu mempertahankan keputusan anda. Di bawah ini ada beberapa strategi untuk menjawab soalan daripada keluarga dan rakan yang tidak menyokong penolakan amalan sunat perempuan:
Umumkan bahawa prosedur telah dilakukan.
Tukar topik perbualan.
Bergurau, contohnya, ‘Eh, tak payah nak tahu sangat tentang kemaluan bayi saya lah!’ atau ‘Nak periksa sendiri?’
Rujuk pendirian MUIS mengenai sunat perempuan – Hubungi MUIS di 6359 1199
Terdapat perbezaan pandangan ulama dan fiqh mengenai sunat perempuan
Ibu bapa harus membuat pertimbangan yang bijak tentang pandangan mana yang ingin diikuti
Jika ibu bapa tidak mahu melakukan sunat perempuan atau ragu-ragu, mereka boleh mengikut mazhab lain selain yang biasa diikuti (iaitu bahawa sunat perempuan tidak wajib dalam Islam)
Jika ibu bapa ingin meneruskan sunat perempuan, mereka perlu memastikan tiada mudarat yang berlaku
Dengan menolak sunat perempuan, anda dapat menyelamatkan anak anda. Namun, dengan bersuara dan menceritakan tentang keputusan anda (apabila anda sudah bersedia), anda juga boleh membantu menyelamatkan lebih ramai kanak-kanak yang lain. Kajian telah membuktikan bahawa apabila sejumlah besar individu mengatakan 'tidak' secara beramai-ramai, transformasi norma-norma sosial boleh berlaku dan ini akan menggalakkan penghentian amalan sunat perempuan[1].
Pengalaman Ibu
“Banyak kali, saya hampir mengalah dan melakukan apa yang ibu mertua saya mahu saya lakukan. Tetapi saya benar-benar tidak tahu sama ada saya boleh menerima diri saya sendiri jika saya membenarkan anak perempuan saya melalui sesuatu yang tidak perlu hanya untuk menyenangkan seseorang yang tiada hak ke atas bahagian peribadi anak saya. Platform ini benar-benar memberi saya sokongan dan kekuatan yang saya perlukan untuk berpegang teguh pada prinsip saya dan melakukan perkara yang betul. Akhirnya, kami memutuskan untuk memberitahu satu pembohongan putih (white lie) kerana, secara sejujurnya, sebagai seorang ibu baharu, tekanan dan stres yang besar ini adalah perkara terakhir yang saya perlukan.”
Dikongsi dengan End FGC Singapore[2]
Bersama-sama, kita boleh menamatkan amalan sunat perempuan ini dalam generasi kita❣️
⭐ Jika anda mendapati maklumat ini berguna, sokonglah kami dengan membeli salinan fizikal buku panduan ini atau membuat sumbangan.